fynn jamal – biar

mata tua yang memandang aku itu–
bundar
pudar

dia tak mahu bilang apa yang mencengkam jiwa usangnya
“biar”
katanya, “biar”.

wahai ayahanda
berhentilah walau sebentar
dan renungkan mataku yang melaut
khabarkan yang jujur dan ujar
apa menyerabut?

wahai ayahanda
bercukuplah menggagah tulang rapuhmu
akukan lemahmu
perikan penatmu
kisahkan jerihmu
aku mahu tahu

mata tua yang bagai ada sakti dewa-dewi itu–
harum
senyum

dipukaukan aku nan terus terpana dan terlupakan
“biar”
katanya lagi, “biar”

wahai ayahanda
bisikkanlah walau sekali
izinkan aku menumpangkan bahu
berikan aku seperca dari beban kamu

wahai ayahanda
lihatkanlah aku
berlari kini
melompat tinggi
setiapnya kerna kau tak pernah pergi

ah, apa masih ingat lagi
aku suka lari-lari?
kau bagaikan tak peduli
ku biar kau patah hati

ah, apa masih tidak lupa
tengking jerit sama-sama?
makan tak mahu semeja
sahabat lebih berharga

ah, apa mampu kau sudikan
ampun maaf ku sujudkan?
bisa tidak kau teruskan
ku sesat kau tunjuk jalan?

ah, apa layak aku bagi?
tak terbalas sampai mati
kau sungguh yang paling tinggi
istanamu syurga nanti

—-

tadi malam, sebaik pulang, aku katup lampu dan aku biarkan cahaya dari skrin putih meneman aku dan gitar kecil aku.
mata aku pejamkan, dan yang aku nampak cuma mata kekasih aku yang terulung, ayahanda yang aku cintakan lebih dari nyawa.

entah kenapa, meski berjuta kali aku membangsatkan diri, tak pernah walau sekali dia palingkan bahunya dan membelakangkan aku.
tak ada dalam jiwanya dendam mengkesumat benci pada aku yang selalu tidak reti untuk menunjuk tinggi mana kasih aku pada dia yang aku cinta itu.

tak diungkit langsung jerih pedih.
tak disebut langsung sedih mendidih.
malah ditanya apa aku mahu kalau direbus dirinya kalau itu membahagiakan aku.

abah sudah terlalu tua.
usia terlalu kejam pada dia.

dan aku maki diri sendiri yang terlalu biasa sama sesuatu yang bernama berdikari.

mungkin kerana aku ini jelas suka bersendiri dari kecil.
mungkin kerana aku ini tegas dengan pendirian degil.
aku cuma lantang melafaz cinta di tulisan2 terpencil.

*diam*

aku tahu abah tahu dia tertinggi dalam aku.
aku cuma minta tuhan bisikkan pada dia di setiap hari yang berlalu.

*kesat airmata*

pertama kali disempatkan berbual sama abah semalam lewat skype.
dua minit pertama yang terkeluar cuma airmata.

“rindunya”, kata dia.
“rindu”.

*seka airmata yang masih laju*

lagu ini, angah buat untuk abah.
balik nanti, angah record kasi abah okay?
tapi abah janji jangan cabut earphone macam abah dengar lagu puisi bunda dulu eh?

angah sayang abah.
angah tak tahu nak cakap.
angah jarang balik sebab angah jauh.
angah nak balik abah suruh simpan duit.
angah sayang abah.
angah tanak abah lupa tu.

“rindunya”, kata dia.
“rindu”.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s